Saturday 25 August 2012

Post Pendek: Menulis Itu Sesuatu Yang Seronok

Assalamualaikum, 

Tahun ini tahun yang menarik. Tahun yang banyak cerita peribadi yang jika saya kongsikan disini hari demi hari, memang tak habis. Tapi, dalam berniat nak kongsi, semua itu tertangguh satu demi satu, hari demi hari sampai kisah-kisah itu tenggelam terbenam dengan masa.

Menulis adalah sesuatu yang seronok. Setidaknya pernah menjadi sesuatu yang seronok bagi saya, secara peribadi; tapi apa yang menghalang saya untuk duduk sejenak, menekan kunci-kunci aksara pada papan kekunci ini, tidak mampu saya jelaskan. Boleh jadi kemalasan, boleh jadi itu sesuatu yang lebih dalam, yang lebih tersembunyi dan terselindung jauh dalam jiwa saya, yang diterjemahkan dengan penangguhan demi penangguhan.

Ya, manifestasi jiwa dalam beberapa isu yang tidak selesai menyebabkan saya kadangkan terhenti, buntu dan kelu. Oleh sebab itu, semasa saya membuat blog saya yang entah keberapa ini, saya tak berani janji untuk meletakkan pos yang tetap, tetapi insyaAllah dengan izinya akan menulis daripada semasa ke semasa.

Menulis itu adalah suara-suara saya yang tak pernah terungkapkan dengan kata-kata kerama saya ini suka memilih untuk diam, tetapi diabadikan untuk kenangan dan ingatan. Tidak kisahlah sama ada kenangan dan ingatan itu secara peribadi, untuk sesesiapa yang singgah disini dan untuk mereka yang datang pada masa akan datang.

Dahulu, saya semasa kanak-kanak yang masih tidak mengenal dunia; menulis dengan penuh suka dan menyimpan makna-makna dalam satu blog yang kemas. Blog yang indah ditatap mata dan dibaca. Tetapi seperti yang ditulis saya dalam 'entri gila' yang lalu, penulisan itu dihentikan kerana penulisan suka itu diperhatikan oleh satu kumpulan yang menggunakan apa yang ditulis itu sebagai peluru-peluru untuk menjatuhkan hukum. Daripada itu, saya memilih untuk sepi, dan lari sehingga tidak lagi dihiraukan oleh mereka. Alhamdulillah, sekarang sudah saya tidak lagi dihiraukan oleh mereka.

Tetapi, harga untuk itu adalah mahal. Adalah masa, adalah hari-hari yang berharga, tetapi tidak dinukilkan dan dikongsikan. Harga terlalu mahal. Saya dengan bangganya menjadi seorang yang terbuang dan tidak dikenali. Baguslah, saya sendiri tahu bahawa itu adalah harga yang perlu saya bayar untuk lari jauh-jauh daripada dunia tersebut.

InsyaAllah, walaupun saya tidak mahu berjanji; saya akan singgah diblog ini dan berkongsi sedikit demi sedikit. Banyak cerita. Banyak tangis daripada tawa. Semua itu adalah satu kesyukuran yang saya tidak pernah sesalkan.

Ya Allah, aku memohon ampun daripada-Mu, dan berkatilah jalan-jalan yang akan datang. 



InsyaAllah, moga bermanfaat,
Muhammad Iqbal A Ghani

Bookmark and Share 


Disclaimer: 1. Ini adalah sekadar pandangan dan perkongsian peribadi penulis. 2. Segala yang tertulis berdasarkan pembacaan, penelitian, perkongsian, perbincangan, pemahaman dan pengalaman penulis. 3.Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kerosakan ataupun kemusnahan harta benda / kehilangan jiwa yang timbul daripada artikel ini. 4.Tiada hak cipta dalam Islam, maka artikel ini bebas untuk dikongsi sebagai peringatan kita bersama. 5. Gambar adalah hiasan dan hak milik masing-masing pemilik asal mereka.