Saturday 17 July 2010

Nota Seorang Zauji dan Abi (i)

*ini nota masa. nota yang kami sendiri tidak mampu menjelaskan dengan kata. cuma tertulis. tertulis jauh daripada masa hadapan, menjadi tatapan sebagai ingatan.



Tidakkah kau melihat, pada kami itu ada ketenangan seorang suami dan kematangan seorang bapa?

Kami dianugerahkan amanah berat, dengan perjanjian yang berat, lalu kami bersyukur. Dengan kesyukuran itu, hijab masa terangkat dan dua jiwa diikat. Dalam kesyukuran itu, dua insan yang tidak pernah bertemu, kerana mencari reda-Nya bersatu. Dengan kesyukuran itu, kami menjejak-jejak langit-Nya, merayau bercanda dalam syurga-Nya, insyaAllah dengan izin-Nya. Lalu mendoakan keberkatan dan rahmat daripada Allah, yang memberikan semua itu.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Ar-Rum,30:21

Daripada kesyukuran itu, ditambah-Nya nikmat lagi amanah yang menjadi bukti-bukti cinta kami. Bukti-bukti yang tidak kami mampu ungkapkan dengan kata, tetapi jelas lagi nyata. Bukti yang menjadi saksi janji-janji Ilahi. Bukti sebagai penyejuk mata, lagi mendamaikan sukma. Bukti yang banyak membesarkan kami lagi dalam membesarkan mereka. Bukti-bukti kekuasaan-Nya.Lagi kami bersyukur, dengan kesyukuran seluas langit dan bumi. Tidakkah kalian melihat?

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Ar-Furqan,25:74

Sunday 11 July 2010

Nota Tentang Syukur

Assalamualaikum.



Bila, saya menulis nota ini saya sedang menulis tentang satu lagi kenangan Kelana Convoy. Tetapi, satu tujahan kuat yang memaksa saya untuk berhenti seketika.

Saya terasa tentang ini, perlu dan lebih utama saya rakamkan dan berkongsi; dan insyaAllah, dengan izin-Nya bermanfaat untuk semua.

Apa yang kita syukurkan.

Mari saya mulakan dengan cebisan-cebisan kenangan Kelana Convoy lagi. Memang, kebanyakan catatan adalah refleksi perjalanan-perjalanan saya.

1 Julai 2010. Lebih kurang 5.30 petang. Paris, Perancis.

Perancis adalah destinasi terakhir Kelana Convoy. Kami berada lebih kurang 3 hari di sana. Satu hari perjalanan daripada Switzerland, merayau di Kota Cahaya (City of Light) itu (nama jolokan bagi Paris) satu hari dan menjadi kanak-kanak seketika di Disneyland Paris hari terakhirnya.

Saya mengikuti Faiz Dahari, salah seorang krew lagi. Memberitahunya beberapa hari sebelum itu, Faiz membalas, “Okey, boleh tapi... (cukup antara kami)”. Paris, telah saya singgah untuk kali kedua kali ini. Agak huru-hara kerana masa yang kami ada singkat. Banyak terbuang sebab ‘bus sightseeing’ yang tidak beberapa produktif, juga lawatan singkat ke kedai minyak wangi yang bagi saya memeningkan (saya tidak gemar banyak sangat bauan yang bercampur.).

Itu baru mukadimah. Permulaan dan pembukaan. Bercerita sedikit. Hari itu,  saya dan Faiz bersama lagi 4 orang yang dibawah jagaan Faiz. Merayau hampir semua tempat dicadangkan oleh penganjur. Salah satunya kami singgah ke Arch De Triumph. Keluar kami daripada stesen Metro yang berhampiran, kami menuju ke terowong bawah untuk mencapai Arch tersebut. Untuk pengetahuan, Arch itu dikelilingi oleh bulatan (roundabout) yang paling sibuk di dunia - sehingga tiada satu syarikat insurans mahu memberi polisi jika berlaku kemalangan disitu.

Saya berjalan agak perlahan sedikit, ditinggalkan belakang. Dan saya tersenyum. Senyum syukur. Tiba-tiba ditangkap, “Kenapa senyum sorang-sorang ni”, salah seorang antara mereka, juga agak tertinggal. “Aku bersyukur”, sepatah kata. “Tentang?”, dibalas. “Banyak benda, antaranya sampai kat tempat ini - second time”, saya membalas, dan menyambung, “dan semua ini, alhamdulillah”, tersenyum. Dia terpinga, “Alhamdulillah” sambutnya. Tamat. Kemudian saya ditingalkan belakang lagi. Saya ingin menjawab lebih panjang ketika itu, mungkin diam saya itu lebih utama.

Syukur, apa yang saya syukurkan?

Thursday 8 July 2010

Nota Tentang Perjalanan(i) - Kelana Convoy 2010



Assalamualaikum,

InsyaAllah saya akan menulis kembali, kembali menulis; mencoret dan berkongsi ringkas serba-serbi yang berselerak dan semak dalam fakulti minda.

Nota Tentang Perjalanan.

Alhamdulilillah, mula dengan satu kesyukuran; saya baru pulang daripada satu perjalanan panjang. Kelana Convoy trip 19/6 -3/7 2010. Banyak cerita dalamnya, banyak cerita bersamanya. InsyaAllah saya akan coret sedikit demi sedikit dalam masa yang berlalu sepanjang cuti musim panas tahun ini.

Perkongsian ini, saya akan usahakan dengan bahasa yang paling mudah moga semua orang memperoleh manfaat.

Kelana Convoy adalah satu pakej percutian budget diuruskan oleh orang Malaysia yang menetap di UK.
Maklumat lanjut boleh didapati pada laman web http://www.kelanaconvoy.co.uk/

Secara asasnya, trip ini adalah perkhemahan di beberapa negara Eropah dan kami bergerak daripada satu tempat ke tempat yang lain menaiki bus. 

Niat

Apa-apa pun, pertama sekali adalah niat, dalam perjalanan ini saya menemukan ramai orang yang mempunya niat, harapan, impian berbeza apabila mereka berkongsi dalam sesi taaruf ringkas. Ada yang sekadar berjalan, melepaskan 'tension' peperiksaan, mengikuti kawan, dan macam-macam lagi.

Daripada Abu Hafsah, Amirul Mukminin Umar Al-Khatab, "Sesungguhnya setiap amal itu berdasarkan niat", pesan Rasulullah.

Mengikuti Kelana Convoy kali ini, saya sendiri punya banyak sebab dan niat; ramai berkata, "Patutlah, tahun depan dah nak balik", atau, "Sementara masa masih ada kan?" apabila saya berkongsi tentang latar belakang bahawa saya akan pulang ke Penang Medical College awal tahun hadapan.

"Dan seseorang itu mendapati apa yang diniatkannya", sambung Rasulullah lagi.

Dalam perjalanan selama 2 minggu, singkat ini saya mencari banyak perkara; meniatkan untuk banyak benda. Paling utama:- mencari diri, mencari beberapa jawapan untuk beberapa soalan fundamental untuk saya melangkah ke takah baru kehidupan, mencari beberapa makna-makna untuk meneruskan jalan.
Apa soalan itu? Cukup untuk saya dan Allah mengetahuinya. Setiap daripada kita punya persoalan untuk kita tanyakan pada diri kita yang paling dalam bukan?

Dan benar, dalam hujung perjalanan saya menemukan jawapan-jawapan tersebut, dan menambahkan lagi destinasi-destinasi yang saya perlu singgah dalam meneruskan perjalanan lagi. Pusing? Tidak faham? Tidak mengapa. Teruskan membaca,

"Kelana Convoy je dah habis, hidup panjang lagi".

Oh, dan saya lelaki tunggal daripada Dublin, yang pergi sendiri dan bertawakal kepada Allah.