Thursday, 8 July 2010

Nota Tentang Perjalanan(i) - Kelana Convoy 2010



Assalamualaikum,

InsyaAllah saya akan menulis kembali, kembali menulis; mencoret dan berkongsi ringkas serba-serbi yang berselerak dan semak dalam fakulti minda.

Nota Tentang Perjalanan.

Alhamdulilillah, mula dengan satu kesyukuran; saya baru pulang daripada satu perjalanan panjang. Kelana Convoy trip 19/6 -3/7 2010. Banyak cerita dalamnya, banyak cerita bersamanya. InsyaAllah saya akan coret sedikit demi sedikit dalam masa yang berlalu sepanjang cuti musim panas tahun ini.

Perkongsian ini, saya akan usahakan dengan bahasa yang paling mudah moga semua orang memperoleh manfaat.

Kelana Convoy adalah satu pakej percutian budget diuruskan oleh orang Malaysia yang menetap di UK.
Maklumat lanjut boleh didapati pada laman web http://www.kelanaconvoy.co.uk/

Secara asasnya, trip ini adalah perkhemahan di beberapa negara Eropah dan kami bergerak daripada satu tempat ke tempat yang lain menaiki bus. 

Niat

Apa-apa pun, pertama sekali adalah niat, dalam perjalanan ini saya menemukan ramai orang yang mempunya niat, harapan, impian berbeza apabila mereka berkongsi dalam sesi taaruf ringkas. Ada yang sekadar berjalan, melepaskan 'tension' peperiksaan, mengikuti kawan, dan macam-macam lagi.

Daripada Abu Hafsah, Amirul Mukminin Umar Al-Khatab, "Sesungguhnya setiap amal itu berdasarkan niat", pesan Rasulullah.

Mengikuti Kelana Convoy kali ini, saya sendiri punya banyak sebab dan niat; ramai berkata, "Patutlah, tahun depan dah nak balik", atau, "Sementara masa masih ada kan?" apabila saya berkongsi tentang latar belakang bahawa saya akan pulang ke Penang Medical College awal tahun hadapan.

"Dan seseorang itu mendapati apa yang diniatkannya", sambung Rasulullah lagi.

Dalam perjalanan selama 2 minggu, singkat ini saya mencari banyak perkara; meniatkan untuk banyak benda. Paling utama:- mencari diri, mencari beberapa jawapan untuk beberapa soalan fundamental untuk saya melangkah ke takah baru kehidupan, mencari beberapa makna-makna untuk meneruskan jalan.
Apa soalan itu? Cukup untuk saya dan Allah mengetahuinya. Setiap daripada kita punya persoalan untuk kita tanyakan pada diri kita yang paling dalam bukan?

Dan benar, dalam hujung perjalanan saya menemukan jawapan-jawapan tersebut, dan menambahkan lagi destinasi-destinasi yang saya perlu singgah dalam meneruskan perjalanan lagi. Pusing? Tidak faham? Tidak mengapa. Teruskan membaca,

"Kelana Convoy je dah habis, hidup panjang lagi".

Oh, dan saya lelaki tunggal daripada Dublin, yang pergi sendiri dan bertawakal kepada Allah.


Mencari Diri.

Perjalanan itu memang perlu. Seseorang itu memang perlu keluar untuk melihat dunia, untuk mengenal diri. Keluar daripada kepompong keselesaan,merasakan hidup dalam kebiasaan. Perlu keluar untuk belajar dan membesar, untuk tumbuh dan lebih bersedia menjalankan hari-hari yang akan datang.

Catatan seterusnya tentang saya. Perseppi saya sepanjang perjalanan yang banyak saya diamkan semasa  dan sepanjang perjalanan tersebut.

Saya mencari diri. Terlalu lama di Dublin, Ireland itu menyesakkan saya. Saya menjadi terlalu selesa dan malas. Terlalu manjakan diri dalam suasana yang ideal. Alhamdulillah, biah, atau persekitaran saya di Ireland sangat ideal dan islamik. Terpisah dan kurangnya interaksi antara jantina, bersama saudara yang berkasih kerana Islam dan Iman, yang sama-sama tercanang satu fikrah. Mereka yang sama-sama dalam perjuangan, meski ada yang tidak seangkatan tapi sejalan.

Lalu, saya keluar menjengah realiti. Bersama konvoi 15 hari, saya menemukan pelbagai manusia, daripada banyak latar belakang masyarakat, yang punya fahaman dan cara hidup yang berbeza. Ragam pun macam-macam. Alhamdulillah, seronok. Ada mereka yang muda, tapi masak; juga sebaliknya. Ada pakcik dan makcik yang berkongsi beberapa mutiara hidup setelah melangkah jejak kehidupan. Ada suami isteri yang bahagia bersama. Ada yang 15 hari mencari cinta. Ada ibu bapa berdedikasi dengan 4 orang anak yang nakal. Macam-macam ada.

Daripada mereka, saya menemukan cebisan-cebisan diri. Daripada realiti, saya menemukan refleksi nurani. Daripada manusia yang saya sentuh dan menyentuh saya, pelbagai cerita dikongsi. Masing-masing punya cerita sendiri. Alhamdulillah, menemukan mereka adalah satu tarbiah daripada Ilahi. Perjalanan ini seluruhnya satu tarbiah apabila direnungi.

Dalam mencari diri, menjawab beberapa persoalan fundamental saya memakai beberapa kaca mata berbeza sepanjang perjalanan. Salah satu membawa diri sebagi dai'e, sebagai medan latihan dan didikan. Meletakkan diri sebagai hamba-Nya yang berjalan, melihat kebesaran-Nya, mentafsir ayat-ayat (tanda-tanda) kekuasaan-Nya dan bersyukur dengan semua nikmat-Nya. Melihat sebagai seorang lelaki, anak, sebagai (bakal) suami, (bakal) bapa. Menjadi seorang sahabat, seorang pembimbing. Menjadi seorang guru, dan pemimpin.

Alhamdulillah, saya menemukan saya.

Aku Seorang Hamba.

Saya banyak barang elektronik. Yang paling saya suka adalah iPod saya. (Nota:- iPod Touch saya hilang dalam penerbangan Dublin- London 6/7/2010). Dan saya membawa iPod yang saya telah masukkan beberapa buku, dan lagu untuk menemankan saya sepanjang perjalanan.

Allah menakdirkan iPod itu 'locked' dalam hari ketiga perjalanan gara-gara teman sekhemah saya cuba membuka passcode iPod tersebut. Dan iPod itu locked sepanjang perjalanan. Aneh, saya tidak terasa kecil hati atau marah kepada beliau, tetapi tersenyum dan berkata, "Jangan risaulah, aku pun tak risau pasal iPod tu".

Sebagai ikhwah, satu yang takkan saya pernah lupa untuk bawa bersama jika berjalan. Al-Quran. Maka, itu menjadi peneman. Alhamdulillah, itu adalah sebaik-baik teman. Adalah mungkin pertama kali dalam hidup saya mempunya masa yang sangat panjang untuk membaca surat-surat cinta daripada Tuhan.

iPod yang rosak itu, digantikan dengan membelek Al-Quran dan meneliti terjemahannya adalah satu kepuasan jiwa, seolah-olah satu dahaga yang lama telah hilang. Daripada bait-bait Al-Quran yang dialunkan saya yang terkadang tersekat-sekat, mendendangkan satu ketenangan yang dalam. Tenang jiwa, terasa dekat dengan-Nya. Alhamdulillah, agak terkejut apabila hujung konvoi tersebut, hampir setengah daripada Al-Quran itu telah saya habisi.

Saya menemukan diri, memahamkan lagi makna dan tujuan kehidupan. Menjadi lebih mengerti tentang tugas sebagai hamba, juga sebagai khalifah. Memahamkan betapa pentingnya meletakkan tarbiah sebagai keutamaan yang paling asas, juga tugas sebagai dai'e. Memahami risalah. Memahami bahawa seruan seruan adalah sama daripada semua Rasul yang telah diutuskan. Seruan yang tidak pernah berubah daripada sejak manusia pertaman. Mengajak manusia menyembah Allah dan taat kepada-Nya. Menyeru manusia kembali meletakkan Islam sebagai cara hidup. Menjadi pembimbing membangunkan individu-individu muslim yang siap-siap menjadi ahli-ahli Badar kala metropolitan ini.

Sebagai hamba, saya menemukan ayat-ayat cinta dan rindu daripada Al-Quran itu. Cerita-cerita indah pada mereka yang beriman, bersyukur dan bertawakkal.  Janji-janji manis pada mereka yang taat, reda dan istiqamah bersama-Nya. Kisah-kisah Yusuf, Sulaiman, Yunus yang memukau. Pemuda Khafi yang Allah menempelak :- sekiranya kalian benar-benar beriman, bilangan mereka sekadar ujian. Cerita-cerita Musa yang paling banyak tercoret. Cerita Musa sejak kecilnya sebagi penyejuk mata, sehingga baginda bersabda pada seorang hamba yang soleh(Nabi Khidir),"Sesungguhnya kau akan mendapati aku dalam golongan yang bersabar". Sungguh, Al-Quran itu benar-benar penyembuh hati didalam dada!

Alhamdulillah, saya menemukan hakikat hamba, dan kehambaan. Maka, dengan itu saya bersyukur atas nikmat Islam dan Iman.

Aku seorang Lelaki.

Catatan ini sampai sub tajuk ini. Mungkin agak sensitif, biar. Mari kita sama-sama belajar.

Saya banyak mengambil masa berfikir tentang ini. Maksudnya memikirkan tentang beberapa peranan yang perlu ditempuh dalam beberapa takah kehidupan yang mendatang, kelak.

Baik, saya akan tulis ringkas dan umum. Pendek. Sepanjang perjalanan, saya menguatkan lagi konklusi dalam diri bahawa Islam telah menyediakan satu panduan hidup yang baik, dan terbaik.

Baik sebagai hamba, sebagai seorang lelaki, sebagai seorang(bakal) suami, sebagai seorang(bakal) bapa. Saya melihat kehadapan (looking forward)  tentang perkara-perkara ini, dan meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat bagi saya dan masa depan saya.

Islam telah memberi kayu ukur, juga menyediakan model yang terbaik dalam pelaksanaan peranan-peranan tersebut:- Rasululullah, Muhammad s.a.w. 

Daripada baginda, itu contoh yang terbaik untuk diikuti.

Menemukan Diri.

Alhamdulillah, saya menemukan diri di separuh puncak gunung tertinggi di Eropah, Switzerland. Pada hari ke 12 mungkin saya memilih untuk memanjat separuh puncak dengan harga yang agak mahal. Euro 40. Kami dibawa oleh train untuk kesana, tetapi mendaki dengan berjalan selepas itu. Kemudian saya menemukan Am, yang berseorangan. Kami mendaki ke satu tempat tinggi bersama. 

Dalam perjalanan, sempat kami turun sebentar ke lurah untuk solat. Tinggalan salji yang belum cair sepenuhnya itu menjadi wudhu (selama ini hanya belajar tentang salji sebagai salah satu air mutlak). Kami solat. Zuhur dan Asar, dihimpunkan serta dipendekkan:- menerima hadiah daripada Tuhan.

Kemudian kami meneruskan pendakian, Am meluru lebih laju, sementara saya meninggalkan sesuatu doa di salji tersebut. Satu doa yang sangat besar. Satu harapan, satu impian, satu janji. Tentang? Biar timbunan sajli itu cair bersamanya, menjadi rahsia.

Am, tiba dulu di satu tempat yang tinggi. Saya mengikuti. Dan sementara Am menunggu beberapa lagi rakan beliau tiba ke tempat yang sama, kami berkongsi. Cukup isinya antara kami. Am membuka roti yang dipaksanya saya makan. Dan juga air, "Kau nak air ke Bal?". 

Di atas itu kami sempat menembak beberapa gambar. Kemudian Am membuat panggilan kepada Imran, dan memanggil Imran bersama-sama rakan yang lain untuk ke tempat kami. Dalam menanti, kami berborak lagi. Tamat apabila Imran dan rakan-rakanya tiba. Kami semua berbasa-basi dan menangkap beberapa gambar diatas. 

Tidak lama kemudian saya memohon diri. Mahu berseorang. "Ada urusan sikit, kene turun dulu", menjawab "Nak pegi mana Bal?", tanya Wan. Kemudian saya kembali ke timbunan salji tadi. Terlihat doa yang ditinggalkankan itu mencair. Sekali lagi berwudhu. Saya membuka Palm TX (Nota:- PDA saya - juga telah rosak skrin semasa di Paris pada hari ke 14). Daripada Palm itu saya menjengah surah yang hendak dibaca. Dimana saya? Di tanah tinggi. Al-Aaraf, surah ke-7 itu menjadi pilihan. Saya membacanya, dan teruskan membaca sehingga bateri Palm TX itu habis. Kemudian mengambil masa untuk bersama dengan Tuhan, berbicara-bicara tentang beberapa perkara dalam diri.

Tika ini saya menemukan beberapa jawapan. Menyakinkan lagi janji-janji Allah itu benar. Menginsafi kerdilnya diri, memohon ampun dan taubat daripada-Nya. Dalam kejauhan daripada hiruk pikuk manusia, sebagai hamba benar-benar melutut depan Tuhannya. Di tempat tinggi, awal menemukan diri. Di tempat tinggi saya tinggalkan masa lalu, dan mengambil beberapa perjanjian baru. Di tempat yang tinggi, saya berdoa. Berdoa dengan doa-doa yang banyak. Berdoa dengan penuh pengharapan. Berdoa agar langkah baru, diberkati. Mendoakan doa-doa itu didengari. Mendoakan kekuatan. Mendoakan doa-doa itu menjadi kekuatan. Memohon menjadi hamba-Nya, menjadi barisan depan penolong-Nya.

Di tempat tinggi, tanah tinggi itu, saya menemukan diri. Menemukan saya. Alhamdululillah.  Menemukan diri dengan erti kata saya.

Kemudian hujan batu turun. Lebat. Seperti salji tetapi tidak. Lalu saya cepat bersiap dan bergegas turun. Bahaya jika terperangkap, boleh jadi tidak pulang. Alhamdulillah sempat turun. Sempat lagi mengejar train pulang. Kelibat beberapa lagi ahli Kelana Convoy dalam gerabak. Train mula turun. Alhamdulillah, kemudian saya meneruskan perjalanan pulang ke tapak perkhemahan.

Perkongsian lain.
Memang, nota diatas tentang saya. Tentang perjalanan jiwa saya. InsyaAllah nota tentang yang lain akan ada. Akan saya coretkan semasa dari semasa.

Saya akan cuba memuat naik gambar dari semasa ke semasa. Masa saya perlu untuk uruskan beberapa perkara yang saya uruskan bila pulang di Malaysia. Tetapi banyak saya ingin kongsi dalam perjalanan, dan saya akan teruskan menulis. InsyaAllah sehingga nota yang lain, semoga bermanfaat.

Muhammad Iqbal
8/7/2010
KLIA
p/s:-menunggu penerbangan domestik ke Alor Setar.

2 comments:

  1. salam Iqbal
    entry hang ni sarat dengan perasaan.seolah-olah ko tgh bercakap depan aku.

    Hehe. jaga diri elok-elok Iqbal.tetiba rasa nak jumpa hang malam ni (bukan sebab suruh baiki HTC lagi)

    Salam dari Bachok

    ReplyDelete
  2. wish that i can do soul-searching journey also

    ReplyDelete