Sunday, 11 July 2010

Nota Tentang Syukur

Assalamualaikum.



Bila, saya menulis nota ini saya sedang menulis tentang satu lagi kenangan Kelana Convoy. Tetapi, satu tujahan kuat yang memaksa saya untuk berhenti seketika.

Saya terasa tentang ini, perlu dan lebih utama saya rakamkan dan berkongsi; dan insyaAllah, dengan izin-Nya bermanfaat untuk semua.

Apa yang kita syukurkan.

Mari saya mulakan dengan cebisan-cebisan kenangan Kelana Convoy lagi. Memang, kebanyakan catatan adalah refleksi perjalanan-perjalanan saya.

1 Julai 2010. Lebih kurang 5.30 petang. Paris, Perancis.

Perancis adalah destinasi terakhir Kelana Convoy. Kami berada lebih kurang 3 hari di sana. Satu hari perjalanan daripada Switzerland, merayau di Kota Cahaya (City of Light) itu (nama jolokan bagi Paris) satu hari dan menjadi kanak-kanak seketika di Disneyland Paris hari terakhirnya.

Saya mengikuti Faiz Dahari, salah seorang krew lagi. Memberitahunya beberapa hari sebelum itu, Faiz membalas, “Okey, boleh tapi... (cukup antara kami)”. Paris, telah saya singgah untuk kali kedua kali ini. Agak huru-hara kerana masa yang kami ada singkat. Banyak terbuang sebab ‘bus sightseeing’ yang tidak beberapa produktif, juga lawatan singkat ke kedai minyak wangi yang bagi saya memeningkan (saya tidak gemar banyak sangat bauan yang bercampur.).

Itu baru mukadimah. Permulaan dan pembukaan. Bercerita sedikit. Hari itu,  saya dan Faiz bersama lagi 4 orang yang dibawah jagaan Faiz. Merayau hampir semua tempat dicadangkan oleh penganjur. Salah satunya kami singgah ke Arch De Triumph. Keluar kami daripada stesen Metro yang berhampiran, kami menuju ke terowong bawah untuk mencapai Arch tersebut. Untuk pengetahuan, Arch itu dikelilingi oleh bulatan (roundabout) yang paling sibuk di dunia - sehingga tiada satu syarikat insurans mahu memberi polisi jika berlaku kemalangan disitu.

Saya berjalan agak perlahan sedikit, ditinggalkan belakang. Dan saya tersenyum. Senyum syukur. Tiba-tiba ditangkap, “Kenapa senyum sorang-sorang ni”, salah seorang antara mereka, juga agak tertinggal. “Aku bersyukur”, sepatah kata. “Tentang?”, dibalas. “Banyak benda, antaranya sampai kat tempat ini - second time”, saya membalas, dan menyambung, “dan semua ini, alhamdulillah”, tersenyum. Dia terpinga, “Alhamdulillah” sambutnya. Tamat. Kemudian saya ditingalkan belakang lagi. Saya ingin menjawab lebih panjang ketika itu, mungkin diam saya itu lebih utama.

Syukur, apa yang saya syukurkan?


Yang Paling Utama.

Ini bukan jawapan skema. Ini jawapan telus daripada jiwa. Ini jawapan yang terbit, dan muncul setelah menjalankan kehidupan untuk beberapa tempoh, yang telah melalukan beberapa takah hidup dan menemukan kebenaran.

Saya bersyukur dengan nikmat terbaik yang diberikan. Nikmat yang mendatangkan kefahaman konsep syukur itu sendiri. Syukur atas satu anugerah yang menggerakkan kehidupan itu sendiri.

Saya mensyukurkan Islam, dan Iman itu.

Firmannya, Al-Hujurat, 49:17:-

mereka berasa berjasa kepadamu (Muhammad) dengan keislaman mereka. katakanlah,'janganlah berasa berjasa kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjukkan kepada keimanan, jika kamu orang yang benar"

Kurniaan Itu Ujian: Luqman vs Qarun

Daripada itu, Allah telah melimpahkan nikmatnya; menjadikan saya orang Islam dan beriman kepada-Nya, dan apa yang diturunkan kepada Rasul-Nya.

Lagi saya syukurkan adalah nikmat lain yang Allah kurniakan kepada saya. Banyak. Terlalu banyak, sehingga terkadang saya terlalu malu lagi untuk mendongak ke langit. Terlalu malu untuk lagi menadah menerima segala nikmatnya bila terkenangkan bertimbunan dosa lalu. Tersesak esak sebak. Ya Allah, Kau Maha Pemurah.

Banyak sungguh Allah kurniakan. Allah mudahkan bagi saya beberapa ilmu untuk saya fahamkan, kuasai dan manfaatkan. Allah memberikan sihat badan, serta yang datang dengannya untuk berbakti dijalan-Nya. Allah memberikan tempat yang sebaik-baik untuk saya, memberikan masa, wang dan tenaga. Allah memberikan sesuatu segala yang tidak saya catatkan disini, yang tidak mampu saya gambarkan dengan kata-kata, atau lakarkan dengan pena.

Allah memberikan saya beberapa hikmah. Dan saya ingin menjadi seperti Luqman Hakim(*1. sila rujuk nota kaki dibawah). Saya bersyukur. Kerana saya faham, insyaAllah, lagi mengerti bahawa ujian itu sendiri bentuknya pelbagai. Tidak semua yang ada melainkan Allah beri sebagai ujian. Allah ingin menguji, adakah kita hamba-Nya sedar lagi tahu bahawa meski semua yang kita dapat ini, kita masih hamba. Mari kita memetik terus, cerita hikmah daripada warkah cinta Tuhanku dan Tuhanmu. Allah menguji, adakah kita menjadi Luqman yang bersyukur atas nikmat-Nya atau menjadi Qarun yang berkata bongkak , “Semua ini adalah disebabkan ilmu yang ada padaku”(*2. sila rujuk nota kaki dibawah).

Mari kita menjadi seperti Luqman, bukan Qarun.

Allah mahu melihat, sekadar menguji meski dalam kekuasaan-Nya, Dia Maha Mengetahui. Sungguh, Allah mahu menguji dan seandainya kita bersyukur lagi Dia ingin memberi. Seandainya kufur, azab-Nya keras, lagi Allah itu Maha Kaya, bahkan kekufuran itu tidak langsung menjejaskan apa-apa bagi-Nya. 

Itu firmannya dalam Ibrahim, 14: 7:-



Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.


Kemudian, Allah berkongsi cerita Sulaiman, ketika baginda bertanya, “Siapakah yang dapat membawa istana Balqis kesini?”. Ifrit bersuara, “Sebelum engkau bangun”[3]. Tetapi, Allah menunjukkan kekuasannya, 

Al Naml, 27:40

[40]


Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.



Bersyukur Itu?

Saya bukan seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan agama formal. Dengan bangga, saya hasil produk sekolah sekular, tapi saya bersyukur dengan lumpur-lumpur sekular itu buat saya mencari dan memahamkan tentang Islam.

Maka, jika ditanya bagaiman hendak bersyukur itu saya cadangkan mencari sahabat yang lebih berilmu atau mana-mana ustaz yang jauh lebih banyak fahamnya.

Bagi saya, syukur itu salah satu daripada buah-buah ranum hasil rendang pohon iman. Manifestasi atau representasi iman itu sendiri. InsyaAllah. Syukur itu benar daripada hati, tepancar ibarat mata air yang mengalir deras tiada henti. Mengalir daripada hati, membasahkan seluruh anggota. Menundukkan jiwa dalam takwa. Menjadikan kita terasa cukup, tetapi tidak menghalang kita berdoa lagi memohon kepada-Nya. Menjadikan kita rendah, dalam kemulian yang diangkat-Nya kita dengan Islam.

Dengan kesyukuran itu, semua yang ada terasa cukup, tetapi Allah akan menambahkan lagi, memurah dan memudahkan rezeki dengan jalan-jalan yang tidak pernah difikiri.Dengan kesyukuran itu, berat ujian terasa manis. Dengan syukur, kita mengerti segalanya milik Allah dan tiada kedukaan bahkan keredaan apabila Allah mengambilnya kembali.

Syukur itu adalah ujian kita, sebagai hamba. Syukur itu untuk kita sendiri.

Maka, mari kita bersyukur. Mari. Janji-janjinya pasti, tertulis dan terbentang.

Sekian itu, catatan ingatan renungan ringkas. Perkongsian sedikit yang saya moga mendoakan manfaatnya untuk semua. Mendoakan manfaatnya menyentuh sedikit daripada dan kalangan kita. Moga Allah memberkati perkongsian ini.

Muhammad Iqbal A Ghani
Kota Kinabalu International Airport (BKI)
10 Julai 2010

Nota:-
*terjemahan Al-Quran diambil daripada laman http://www.alquran-melayu.com/

1. Kisah Luqman (Luqman, 31:12)

[12]
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

2. Kisah Qarun, Al-Qasas,(28:76-82)

[76]
Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).
 

[77]
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.
 

[78]
Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
[79]
Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”.
[80]
Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar”.
 

[81]
Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.
 

[82]
Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun – mulai sedar sambil berkata: “Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!”

3. Kisah Nabi Sulaiman dan Istana Ratu Saba, (An Naml,27: 38-40)
[38]
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?”

[39]
Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.
 

[40]
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.

No comments:

Post a Comment