Assalaumualaikum.
Sebaiknya saya mengingatkan anda, selepas lama tidak menulis ini; tulisan kali ini adalah lebih bersifat peribadi. Barangkali anda tertanya pada hujungnya, "Apa yang aku baca ni?" . Tidak mengapa, moga ada yang dapat bermanfaat. Yang tak dapat itu, tak apalah.
Seadanya saya ini dengan masa terikat. Bahawa daripada mana saya datang mengikat saya dalam beberapa puluh tahun belakang berbanding rakan-rakan sebaya.
Maksudnya, pembawaan atau pembesaran saya yang dengan bangganya jauh di kampung asalnya menjadikan saya dan beberapa rakan sebaya yang membesar di bandar itu beberapa tahun ketinggalan daripada mereka.
Faham?
Jika tidak, tidak mengapa.
Secara mudah, masa adalah sesuatu perkara yang relatif. Relatif itu hanya wujud jika terdapat sesuatu yang dibandingkan. Jika kita mengambil dalam satu-satu masa satu tempat di kampung, contohnya lalu dibandingkan dengan satu masa di bandar, pasti nilai masa antara dua tempat itu tidak masa.
The Proud Kampung Boy
Kompleks?
Mudahnya lagi, berbanding bandar yang sudah maju, kampung itu ketinggalan beberapa tahun secara relatif walaupun dua-dua tempat itu berada dalam satu titik masa yang sama, contohnya tahun 2012. Okay, kalau tidak faham lagi, tak apalah. =)
Maka dengan relatif ini, kita dapat melihat juga relatifnya sesuatu pemikiran antara mereka yang dibesarkan di bandar, dengan jauh mereka yang sepanjang hidup mereka di suasana kampung.
(Dan saya tidak berminat dan berniat untuk merendahkan martabat orang kampung sebab saya sendiri adalah seorang budak kampung. =))
Apabila budak kampung itu sekadar di kampung, dan budak bandar itu di bandar; tidak apalah. Mereka bahagia dalam hidup masing-masing. Tetapi jika budak kampung itu, tercampak ke bandar; itu sesuatu yang tidak biasa baginya. Alah, orang dulu cakap, "Ibarat rusa masuk kampung".
Relatif Antara Masa
Perbezaan pemikiran, budaya, dan persepsi antara kampung dan bandar itu, dipisahkan secara relatifnya dengan masa walaupun ketika itu orangnya berapa dalam satu titik yang sama dalam jalur waktu.
Lalu, ada beberapa perkara yang budak-budak bandar sudah jauh kehadapan, dengan fantasi-fantasi dan angan yang menyebabkan budak kampung itu sendiri keliru.
Secara relatifnya, budak kampung itu berada dalam zaman ayah-ayah budak-budak bandar sekarang dimana ketika ayah-ayah mereka juga dahulunya susah dan daripada kampung sebelum menjadi orang-orang besar di bandar.
Dan secara relatifnya, budak-budak bandar itu ibarat anak-anak budak kampung itu yang jika budak kampung itu mengikut jejak masanya, dia juga akan berjaya seperti ayah-ayah budak bandar tersebut.
Faham deh?
Bila budak-budak bandar itu; dengan angan-angannya yang menjangkaui satu generasi budak kampung; sudah tentu ada percanggahan nilai. Percanggahan antara budak kampung yang sedang mengejar ayah-ayah budak bandar itu, dan budak bandar itu sedang mengejar cucu-cucu budak kampung tersebut. Maka, walaupun dalam titik masa yang sama, jiwa dan minda mereka dalam beberapa generasi yang berbeza.
Maka Terikatnya Saya
Begitu terikatnya saya dengan masa. Terikatnya bahawa saya ingin selesaikan beberapa-beberapa perkara yang sepatutnya selesai jika datangnya saya daripada pembawaan dan pembesaran yang berbeza. Tetapi, dengan latar belakang ini, saya sendiri perlu mengejar beberapa perkara yang telah lama selesai oleh satu generasi. Oleh itu kadang-kadang saya melihat beberapa sebaya seperti anak-anak sendiri berbanding rakan. Walaupun berada dalam satu ruang masa yang sama; terdapat perbezaan generasi.
Ini tidak bermaksud saya memaki takdir ya. Ini sekadar retrospeksi. Saya sebenarnya sangat bersyukur dengan jalan hidup yang tertulis dari nafas pertama hingga hujung nyawa yang diatur indah dan elok oleh Allah.
Lalu ada beberapa perkara yang saya ingin lakukan, ingin tamatkan sekarang ini menjadi sembang kosong. Kosong kerana kita relatifnya terpisah beberapa generasi. Tetapi insyaAllah dalam sedikit masa lagi, jurang antara generasi itu akan diisi. Sedikit masa lagi, sekejap lagi. InsyaAllah.
Oh, apa yang anda baca ini? Seperti yang saya tulis tadi, peribadi dan sekali lagi, relatif.
Maaf
Kerana dalam lama tak menulis, saya menulis yang sangat peribadi dan mungkin tiada bermanfaat bagi anda. Tapi alhamdulillah, setidaknya ini menjadi langkah-langkah awal untuk saya kembali menulis berkongsi. Kenapa saya diam sebelum ini? Jujurnya selepas beberapa tahun berlalu pun, saya masih fobia dengan satu kumpulan ini yang menggunakan apa yang ditulis sebagai peluru-peluru untuk menembak. Cukup sampai sini, insyaAllah saya akan ungkai satu demi satu kelak.
InsyaAllah, moga bermanfaat,
Muhammad Iqbal A Ghani
Disclaimer:
1. Ini adalah sekadar pandangan dan perkongsian peribadi penulis.
2. Segala yang tertulis berdasarkan pembacaan, penelitian, perkongsian, perbincangan, pemahaman dan pengalaman penulis.
3.Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kerosakan ataupun kemusnahan harta benda / kehilangan jiwa yang timbul daripada artikel ini.
4.Tiada hak cipta dalam Islam, maka artikel ini bebas untuk dikongsi sebagai peringatan kita bersama.
5. Gambar adalah hiasan dan hak milik masing-masing pemilik asal mereka.
No comments:
Post a Comment