Tetamu Agung
Ramadhan tiba. Alhamdulillah, setinggi syukur pada Dia yang mengizinkan saya dan kalian masih bernafas dan bernyawa untuk menerima tamu agung yang dinanti saban tahun. Ramadhan bulan kemuliaan, dalamnya penuh keberkatan. Banyak hadis juga ayat-ayat Al-Quran dibacakan menyatakan tentang manfaat dan kelebihan bulan ini. Maka, saya tidak mahu mengolahnya disini. Kalian boleh mendapatkannya banyak di laman-laman web, mungkin juga emel-emel berangkai.

Tetamu agung kali ini, saya yang perlu menginsafi kerdil diri. Bahawa adakah saya cukup mantap akidahnya dan teguh imannya? Ya Allah, aku memohon ampun daripada-Mu. Ya Allah, aku bersaksi dan disaksikan bahawa tiada 'ilah' selain Engkau. Ya Allah, moga Ramadhan kali ini menjadi penebus bulan-bulan selepas Ramadhan lalu dan bekal bulan-bulan yang akan datang hingga Ramadhan tahun hadapan.
Bersama Diri
Saya mungkin akan menghilangkan diri daripada dunia ramai buat seketika. Saya perlu bersama diri. Bila dirumah sendiri ini, saya berada dalam zon yang terlalu selesa. Itu buat saya hilang arah tuju. Semua kerja tidak menjadi. Segala yang dirancang sekadar tinggal kata. Itu bila kita terlalu selesa.

Mencari diri tatkala menemukannya dahulu. Pencarian ini, baru saya sedar bukan destinasi. Tetapi perjalanan. Perjalanan yang kita akan menemukan sedikit demi sedikit diri kita, tentang kita. Sedikit demi sedikit kebenaran terungkap, mendekatkan kita kepada Sang Pencipta. Sedikit demi sedikit kita diangkatkan hijab-hijab tentang kebesaran dan kekuasaan-Nya.
Tetamu Agung dan Bersama Diri

Dan tetamu agung kali ini, saya melihat sebagai satu bekal dan medan amal yang paling gebu. Metaforanya satu pohon yang rendang, dan membuahkan buah-buah yang ranum dan manis. Saya yang perlu menyediakan tangga, galah, bakul dan segala yang perlu untuk mengait buah-buah itu. Mengait untuk menikmatinya manisnya, dan juga menyimpan sebagai bekal perjalanan jauh.
Tetami yang perlu saya, dan kita raikan dengan lapang dada serta hati terbuka. Tetamu agung bukti kebesaran dan kemulian-Nya. Bukti bahawa Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun lagi Maha Menerima taubat.
Maka, saya perlu pergi, untuk seketika. Sampai jumpa lagi nanti.
Muhammad Iqbal A Ghani
Kangar, Perlis
3 Ramadhan 1431H
No comments:
Post a Comment