Assalamualaikum!
1. Dalam beberapa minggu di bahagian perbidanan dan sakit puan (Obstetric and Gynaecology), saya memerhatikan satu perkara yang bagi saya wajar dicatatkan.
2. Bahawa untuk setiap sesuatu ada masa yang betul, dan setiapnya ada masa yang tersendiri.
3. Ini adalah sebahagian sunnahtullah yang mungkin terkadang kita terlepas pandang.
4. Secara amnya, orang awam faham bahawa selalunya kandungan itu adalah dalam tempoh 9 bulan 10 hari, atau jika bercakap dengan doktor-doktor O&G ini, mereka bercakap dalam minggu - maka 9 bulan 10 hari itu bersamaan 40 minggu 10 hari.
5. Ya, 9 bulan 10 hari atau 40 minggu sepuluh hari diperlukan untuk satu embrio ( hasil percantuman telur lelaki i.e sperma dan telur wanita (ovum) yang tersenyawakan menjadi seorang bayi yang cukup sifat dan selamat untuk lahir dan hidup di dunia ini bersama-sama manusia lain tanpa sebarang masalah atau komplikasi semasa kelahiran.
6. Apa terjadi jika bayi tersebut lahir lebih awal, misalnya pada 34 minggu berbanding pada masa sepatutnya ( dalam O&G, tempoh masa yang dianggap bayi telah matang adalah pada 37-40 minggu). Bayi tersebut akan mengalami masalah untuk menyesuiakan hidup dengan keadaan luar. Kenapa?
7. Kerana bayi tersebut tidak bersedia lagi dengan dunia luar. Organ-organ dalaman seperti paru-paru belum lagi matang sebelum tempoh tersebut untuk bayi itu bersiap sedia secara fizikal berdepan dengan dunia, lalu hal ini menjadi masalah kepada bayi tersebut.
8. Untuk memastikan bayi itu tidak mempunyai masalah, sistem-sistem fungsi badan seperti pernafasan (paru-paru), saraf (otak), pengaliran darah (jantung) dan lain-lain perlu matang terlebih dahulu. Proses pematangan tersebut mengambil masa seperti yang diberitahu sebelum ini iaitu antara 37 - 40 minggu.
9. Begitulah sesuatu perkara, setiap benda. Sama ada dalam hidup - proses kehidupan itu sendiri; perancangan-perancangan hidup dan aktiviti - perkara-perkara tersebut memerlukan masa untuk direalisasikan. Memerlukan masa untuk melaksanakan apa yang dirancang.
10. Jika perkara itu belum cukup dan sampai masanya lagi, maka perkara itu belum bersedia untuk wujud. Dan perancangan-perancangan pun, jika tidak lagi masanya tak bersedia lagi untuk menjadi realiti.
11. Begitu juga dengan kita menjalani kehidupan, dan melalui takah-takahnya. Kita melalui masa riang kanak-kanak untuk beberapa tempoh, kemudian menjadi remaja matang dalam beberapa tahun selepas itu kedewasaan menjengah. Tidak lama kemudian kita menjadi tua, dan pulang kepada Allah seterusnya. Semua itu adalah proses, dan setiapnya mempunyai masa masing-masing.
12. Itu pemerhatian pertama. Setiap benda, perkara, idea, perancangan memerlukan satu tempoh masa untuk matang, menjadi nyata dan dimanifestasi sebagai realiti.
13. Kemudian, dalam tempoh 40 minggu 10 hari itu, tidak semua bayi keluar pada masa itu. Setiap bayi ada yang keluar awal sedikit - 37, 38 minggu; ada yang terlebih sedikit 41-42 minggu (ini masalah lain pula). Ya, setiap bayi yang keluar mesti lain-lain masa dalam tempoh yang lebih kurang sama bersiap sedia untuk menghadapi dunia.
14. Begitu juga dengan kita. Setiap pada kita, memerlukan masa untuk sesuatu dan masa itu berbeza pada setiap individu.
15. Maka tidak wajar untuk kita menghukum orang lain kalau kita telah selesai mencapai sesuatu dalam tempoh lebih awal. Jalan-jalan yang kita dan lalui mungkin sama tapi tempoh antara individu itu berbeza. Kita seharunsnya cuba memahami dan kalau boleh bantu orang lain untuk mencapai matlamatnya.
16. Kesimpulannya mudah, untuk setiap perkara itu ada masanya dan setiap orang itu punya masa masing-masing. Ada masanya yang memang diperlukan untuk perkara itu bersedia mejadi realiti dan setiap orang itu mengambil tempoh masing jadi tak perlulah menghina dan menghukum orang lain.
InsyaAllah, moga bermanfaat,
Muhammad Iqbal A Ghani
Disclaimer:
1. Ini adalah sekadar pandangan dan perkongsian peribadi penulis.
2. Segala yang tertulis berdasarkan pembacaan, penelitian, perkongsian, perbincangan, pemahaman dan pengalaman penulis.
3.Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kerosakan ataupun kemusnahan harta benda / kehilangan jiwa yang timbul daripada artikel ini.
4. Gambar adalah hiasan dan hak milik masing-masing pemilik asal mereka.
No comments:
Post a Comment