Sunday, 19 December 2010

Nota Kuasa Sepuluh (Powers of 10)

Assalamualaikum.


Powers of 10.

Ini bukan cerita pasal Power Rangers, atau Masked Rider (Kamen Rider).  Bukan cerita superhero juga. Ini, satu video yang dipesan oleh seorang pensyarah saya, Professor Samuel MacConkey (dan bukan yang McConkey Agar itu ya) supaya melihat sesuatu itu seperti video ini.

Maka, sebelum saya menulis panjang sedikit, sila tonton versi asal. Daripada Youtube.







Power of 10 ini, insyaAllah saya akan berkongsi daripada 2 sisi.

Bagaimana kita melihat

6 Disember (kebetulan dengan catatan lalu, 6 November). Hari itu hari Isnin. Tetapi, itu minggu pertama kami dalam bulan Disember memulakan satu minggu panjang tentang modul 'Tropical Medicine' (Perubatan Tropika). Kelas bermula pada awal 8.00 pagi, dan saya hampir terlewat. Okay, bukan saya sahaja. Bahkan ketika kelas bermula, ramai lagi yang tidak datang. Kembali ke topik asal, tadi sekadar catatan sisi.



Kelas pertama adalah pengenalan modul 'Tropical Medicine' itu oleh Professor Samuel McConkey. Walaupun bergelar Professor, beliau masih muda, dan bersemangat. Semasa membincangkan apa yang kami perlu tahu tentang beberapa topik dalam modul tersebut, secara memdalam seperti HIV dan Malaria; juga beberapa topik yang kami perlu sekadar tahu, beliau berkata(pasti dalam bahasa Inggeris, dan diterjemahkan kepada maksud terdekat):

"Untuk masalah-masalah ini (merujuk kepada HIV dan Malaria), kalian perlu melihat masalah ini dengan sudut pandang seperti satu filem 60-70-an, 'The Power of 10'. Semua pernah tengok?"

Kelas sepi. Ada yang menggeleng. Saya tidak pasti. Mungkin.

"Filem pendek itu, sangat mengagumkan. Bermula daripada seorang berkelah ditepi pantai Chicago, kemudian kamera di 'zoom out' keluar kepada kuasa sepuluh (maksudnya daripada 1 meter, kepada 10 meter, kepada 100 meter kepada 1000 meter) setiap beberapa saat sehingga paling hujung sejauh alam semesta. Kemudian di zoomkan kembali kepada seorang itu, lalu menembusi kulitnya, melihat sel darah putih, ke dalam nukleus, ke DNA lalu sehingga sekecil atom. Mungkin karbon. Kita adalah makhluk daripada karbon." (Anda lebih faham kenyataan ini jika melihat video Youtube diatas)

Sambung beliau. Kelas masih lagi diam. Ada beberapa orang memberi perhatian. Kelibat seorang dihadapan saya menulis dalam buku notanya, "Power of 10". Saya pun menconteng aksara yang sama dalam kertas catatan saya. (Rupanya, saya sendiri pernah tengok video seperti itu, tetapi versi baru barangkali. Selepas pulang, dan menjelajah Youtube, benar terdapat beberapa versi selepas versi asal. Tapi saya suka versi asal yang klasik. Lebih original.)

Kemudian, Professor itu berbicara lagi,

"Begitulah saya ingin kamu semua melihat apa yang kita akan belajar selepas ini. Semua perlu memahami situasi dan masalah seperti HIV secara global (zoom keluar melihat masalah), juga perlu untuk mengetahui bagaimana menguruskan pada 'level' pesakit (zoom in). Secara menyeluruh."

Saya mengganguk. Benar. Bersyukur daripada sesi pengenalan ini, saya telah belajar satu lagi 'kebijaksaan' daripada Professor tersebut. Benar, kita perlu melihat sesuatu itu daripada pelbagai sudut pandang; baru kita dapat faham masalah sebenar lalu, mencari jalan terbaik dalam menyelesaikannya.

Bukan sekadar masalah, dalam apa bidang sekalipun. Melihat sesuatu secara menyeluruh, juga terperinci  untuk memahami sesuatu perkara atau sesuatu bidang.

Baik. Itu, yang tertulis jelas adalah satu sisi.

Kita hamba-Nya.

Ini pula, sesuatu yang lain dan berbeza daripada topik diatas. Tetapi berkaitan apabila kita melihat video tersebut.

Lalu, mungkin satu persoalan.

Siapa kita?

Jika dibandingkan dengan seluruh semesta; kita adalah sesuatu yang tiada makna. Kewujudan kita, atau kehilangan kita seperti tidak memberi impak kepada semesta sedikit pun. Maka, tidak berguna untuk merasa besar, megah dan serba cukup. Perlu kita sedar diri bahawa kita hanya seorang HAMBA. Hamba kepada Pemilik dan Pencipta alam ini.

Kemudian, apabila dizoom paling kecil; kita hanyalah susunan-susunan atom. Ini fakta. Jasad kita adalah susunan-susunan atom tersebut; lalu membentuk DNA-DNA. DNA tersebut membentuk protein-protien. Lalu protein -protein itu disusun membentuk kita.

Dan, sebenarnya lagi; siapakah kita?
Kesedaran (Consciousness) kita hanya interaksi-interaksi kimia.
Apa yang kita rasa, tahu, dengar, lihat itu sekadar translasi atau terjemahan di dalam otak kita daripada input yang kita dapat daripada luar. Tahukah kalian bahawa, semua maklumat tersebut diproses di dalam otak; lalu difahamkan bagaimana kita melihat dunia.

Lalu, bertanya kita; siapa kita?

Itu bukti-bukti bahawa kita hanya ciptaan. dan Allah itu, Tuhan seluruh alam. =]

Maka, itu menyedarkan kita bahawa; dunia ini hanya sementara dan ujian.

Maha Suci Allah. Sesungguhnya Allah telah menciptakan kita daripada apa yang tidak kita ketahui.
Maha Suci Allah dengan kekuasaan-Nya. Sesungguhnya, pada kita; manusia itu sendiri ada bukti-bukti keagungan dan kebesaran Allah.

Hakikatnya, kita hanya roh yang diberi amanah untuk menjaga badan ini.

Lalu saya tidak mahu menulis panjang. Mempersoal sisi ini, terlalu panjang.

Kepada anda untuk berfikir dan memahami.
Menginsafi. Lalu, bersujud kembali pada Allah.



Kesimpulan.
1. Lihat sesuatu dan fahaminya secara menyeluruh. Ya, susah. Tetapi lama-lama akan menjadi tabiat dan kebiasaan.
2. Merenung kembali hakikat kita sebagai hamba Allah. Benar, jika kita betul-betul faham; dunia ini memang sekadar ujian dan sementara. Maka, bersiap-siap kita untuk kembali menemukan Allah, lalu menjalankan hari-hari kita sebagai hamba-Nya sebaik-baiknya.

InsyaAllah, moga bermanfaat,
Muhammad Iqbal A Ghani

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment