Wednesday 22 September 2010

Nota Saya dan Fotografi(i)

Assalamualaikum


Saya dan Fotografi: Secara Am.

Fotografi adalah seni. Saya mencintainya, tetapi tidak pernah mampu untuk memiliki satu kamera Digital Single Lens Reflex (DSLR) sehingga Mei 2010 (tahun ini). Itu pun terdesak dan mendesak saya mencari satu kamera sebelum merantau dan merayau di beberapa buah negara Eropah dalam kembara saya bersama Kelana Convoy. Agak banyak juga wang euro hangus untuk membeli set Canon EOS 450D bersama beberapa lensa serta aksesori lain. Alhamdulillah, saya bersyukur dengannya.

Canon EOS 450D


Sekali lagi, fotografi adalah seni, saya mencintainya. Tetapi hobi ini adalah satu hobi yang mahal. Hobi yang menghabiskan duit, dan perlu serius untuk mencintainya. Jika tiada kesanggupan ini, maka pembaziran yang banyak telah berlaku dan wang tersebut boleh digunakan untuk membeli sesuatu yang bermanfaat.

Saya mencintai fotografi pegun (still photography). Itu kerana, bagi saya secara peribadi lebih suka orang yang melihatnya mentafsirkan gambar itu sendiri. Jika itu video gambar, mereka hanya melihat sesuatu dalam konteks video itu sahaja, tanpa mungkin mengambil kisah konteks yang lain seperti sesuatu dilatar belakang , atau peristiwa lain yang dilihat daripada sudut yang berbeza. Fotografi pegun memberikan kebebasan imaginasi untuk memegang gambar itu dengan dunia dan rasa mereka sendiri, lagi mendefinasikan sesuatu subjek dalam gambar itu lebih bermakna.

Seninya
Seperti yang saya tulis awal tadi, fotografi adalah seni. Tetapi seninya fotografi itu terletak bukan pada kamera dan lensa yang mahal (walaupun itu juga faktor menyumbang). Tidak perlu. Walaupun kamera kompak (compact) atau letak& tembak (point & shoot) boleh menjadikan gambar itu satu seni yang indah.



Seninya terletak pada jiwa jurugambar, pada matanya yang melihat dengan perspektif. Seninya terletak pada komposisi dalam gambar tersebut. Bagaimana seorang jurugambar itu menyusun atur sesuatu subjek dalam gambar yang hendak diambil.



Seninya adalah bagaimana seorang jurugambar itu dapat merakamkan suasana. Mengabadikan emosi dan peristiwa dengan seasli mungkin. Itu pandagan peribadi saya. Maka, oleh sebab itu saya tidak berapa suka menangkap scene yang bersedia. Tetapi jika kadang-kadang kawan meminta, layan sajalah.

Seninya pada teknik dan bagaimana kita meletakkan suasana itu seadanya tanpa mengurangkan nilai emosi itu sendiri. Gambar pegun ini menyimpan cerita dan nostalgia yang berharga.

Keadaan Berbeza
Dalam fotografi, saya mendapati sepanjang hanya beberapa bulan memiliki kamera itu; mempunyai banyak cabang, dan setiap cabang seninya mempunyai cabaran yang berbeza dan juga alatan yang berbeza. Ambil contoh fotografi sukan yang aksinya bergerak pantas, tidak sama fotografi potret yang subjeknya manusia juga tidak sama dengan fotografi landskap. Semua ini mempunyai 'setting' yang berbeza juga mempunyai lensa yang berbeza untuk merakamkan keadaan dan suasananya.

Maka, dalam mood, situasi, keadaan, konteks yang berbeza, persediaan untuk menangkap gambar itu memerlukan kecekapan seorang jurugambar menilai keadaan dan menetapkan 'setting; yang terbaik untuk setiap situasi. Itu memerlukan ilmu dan juga pengalaman. Itu memerlukan pembelajaran daripada banyak peristiwa, banyak perbincangan dengan rakan se-jurugambar, perkongsian dengan mereka yang lebih berpengalaman dan sebagainya.

Ilmu Cahaya
Secara amnya (dengan pengalaman beberapa bulan) saya mendapati forotgrafi dengan kamera DSLR ini adalah satu seni cahaya. Untuk mendapat gambar yang elok, kita seharusnya berusaha untuk mendapat pencahayaan yang cukup . Jika tidak, gambar akan menjadi 'blur', gelap atau langsung tidak kelihatan sebagai gambar melainkan garis-garis cahaya.

Seorang jurugambar itu perlu bijak mengawal cahaya untuk mendapat eksposur (exposure) yang tepat. Jika cahaya terlalu malap, gambar itu dipanggil 'under-exposed', jika terlalu terang menjadi 'over-exposed'. Itu memerlukan kemahiran juru gambar untuk mengawal apatur (apature) - bukaan bilah pada lensa atau/dan kelajuan shutter (shutter speed) pada kamera. Kemahiran untuk mengawal kedua-dua elemen tersebut akan menentukan cahaya masuk kedalam kamera dan menghasilkan eksposur yang tepat untuk sesuatu gambar.

Dalam sesetengah keadaan, seperti di dalam rumah (indoor) atau keadaan mendung yang memerlukan cahaya lebih, sumber pencahayaan sokongan perlu. Itu datangnya 'flash' untuk memberi cahaya lebih supaya eksposur yang tepat dicapai. Memandangkan saya jarang menggunakan 'flash', saya tidak mampu untuk komen banyak tentang ini.

Belajar Sendiri
Kebanyakan ilmu fotografi adalah hasil usaha saya sendiri daripada video, buku, tutorial daripada laman web, dan juga perbincangan bersama teman-teman. Saya akui, pada mulanya agak mengambil masa untuk memahami prinsip asas fotografi dan mengenal fungsi-fungsi yang khas pada kamera yang dimiliki. Tetapi jika kita menguasainya, insyaAllah segalanya selepas itu menjadi lebih mudah.

Bermain dengan DSLR ini juga perlu untuk kita ke lapangan dan mengambil gambar. Mengambil gambar dalam suasana dan peristiwa yang berbeza juga melatih kita untuk menyesuaikan diri dan menguasi apa yang perlu untuk menangkap saat-saat situasi tersebut. Daripada lapangan saya banyak belajar. Daripada keluar memburu gambar, pelbagai perkara yang saya dapat dan lebih faham dengan ilmu dan teori yang dipelajari daripada buku.

Belajar sendiri tidak susah, yang penting anda perlu ada kemahuan. Yang penting mahu belajar daripada mereka yang telah lama. Sanggup belajar daripada sesiapa. Sanggup melakukan kesilapan dan belajar daripadanya. Tidak mudah putus asa dan perlu berani mencuba.

Prioriti
Dalam menggila menangkap gambar pun, perlu saya ingatkan diri saya dan anda yang berkenaan supaya ingat apa yang lebih utama. Fotografi, saya mengambilnya sebagai hobi tidaklah dapat mengatasi prioriti dan tugas utama saya sebagai pelajar perubatan.

Setiap daripada kita ada tugas masing-masing. Saya masih ingat lagi pesan daripada seorang jurugambar professional yang saya temukan semasa Kelana Convoy tempoh hari bahawa beliau tidak pernah keluar untuk sesi bergambar jika semasa semester kuliah walaupun beliau pelajar architecture. Apatah lagi kalau perubatan ya?

Jika anda ingin terjun dalam fotografi.
Bergantung kepada anda, dunia fotografi adalah seronok. Saya yang masih baru terasa sangat tidak layak untuk bercakap apa-apa tentangnya tapi sekadar mampu berkongsi dengan apa telah saya lalui. InsyaAllah semakin lama kita dalam sesuatu bidang, lebih banyak perkara yang kita belajar dan faham.



Jika anda ingin terlibat dalam dunia fotografi, pesan saya seperti diatas. Bila anda membuang duit untuk satu kamera DSLR dan segala aksesorinya, lebih berbaloi untuk anda belajar betul-betul tentangnya dan segala yang asas tentang fotografi. Belajar dengan bersungguh dan betul-betul biar apa yang dilaburkan itu bermakna.

Kamera mana penting, tetapi tidak terlalu penting. Untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, yang penting adalah kita perlu belajar.

Kesimpulannya
Fotografi adalah satu hobi yang mahal. Tetapi yang lebih utama dan tidak mampu dibeli dengan wang adalah kepuasan anda apabila menangkap gambar-gambar yang indah, cantik dan bermakna. Satu kepuasan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Cuma satu perasaan yang dalam dipanggil kepuasan. Ini terbukti banyak pada mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini sebagai jurugambar professional.

Mungkin duit yang terbang itu, boleh disimpan dan membeli sesuatu yang lebih baik; tetapi berbeza jika anda dapat menyimpan satu kenangan dalam satu-satu peristiwa melalui gambar pegun.

Alhamdulillah, saya bersyukur Allah memberikan saya peluang untuk memiliki sebuah DSLR yang banyak mengajar saya menemukan satu sisi dan potensi dalam saya yang perlu digilap. Banyak orang yang telah saya temukan dan belajar daripada mereka. Tetapi saya mengambilnya sebagai hobi, bukan berniat untuk menjadi seorang professional. InsyaAllah, saya ingin menjadi seorang doktor dan dalam perjalanan menuju itu.

InsyaAllah, moga bermanfaat,
Muhammad Iqbal A Ghani
22 September 2010
Kangar, Perlis

4 comments: